Friday 25 November 2011

Menelusuri Hikmah & Iktibar Hijratur Rasul s.a.w

Muqaddimah

     Hijrah berasal dari istilah bahasa Arab “hajara” yang membawa maksud “berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain”. Ia juga membawa maksud perubahan yang dilakukan ke arah yang lebih baik. Dalam konteks Islam pula ia merujuk kepada peristwa yang bersejarah iaitu penghijrahan baginda Nabi Muhammad S.A.W bersama para sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah dalam usaha baginda meneruskan survival dakwah untuk mengukuhkan kekuatan umat Islam.
    Di dalam Al-quran dan hadis terdapat banyak ayat yang mengandungi perkatan hijrah ini. Di antara maksud hijrah yang terkandung dalam al-Quran dan hadis ialah :

• Perpindahan dari negeri yang syirik kepada negeri Islam seperti mana yang telah dilakukan oleh baginda dalam penghijrahan ke Madinah. Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat: Apakah yang kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dulu ialah orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam dan neraka jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Nisaa’, ayat 97)
• Meninggalkan apa yang telah ditegah oleh Allah ke arah melaksanakan segala perintahNya.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud ;
: قال الرسول   : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
“Muslim ialah seseorang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.”[HRMuslim]

Imam Nawawi berkata di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya; "tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah Negara Islam."

Katanya lagi di dalam Syarah Sohih Muslim bahawa para ulamak berkata, hukum berhijrah dari Negara kafir harbi ke Negara Islam masih kekal hingga hari kiamat. Pada hadis ini ada dua takwilan :
i. Tidak ada hijrah dari Mekkah selepas pembukaan Mekkah kerana telah wujudnya sebuah Negara Islam, tetapi yang masih ada hanyalah hijrah dari Negara Kafir harbi.

ii. Tidak ada hijrah selepas pembukaan Mekkah yang sama pahalanya dengan hijrah sebelum pembukaan Mekkah sebagaimana firman Allah swt:
"... tidaklah sama di antara kamu, orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi Menguasai Makkah) [Surah Al-Hadid : 10]

Dan maksud sabda Nabi saw : “ Tetapi Jihad dan Niat ”, adalah ;
Tetapi apa yang tinggal untuk kamu adalah jalan untuk jalan untuk memperoleh fadhilat-fadhilat hijrah tersebut iaitu dengan jihad dan niat yang soleh dan baik pada setiap perkara.

Dan maksud sabda Nabi saw : “Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah ”, adalah; Apabila pemimpin kamu menyeru kepada jihad atau berperang, maka pergilah.

Sejarah permulaan Kalendar Islam
Sebenarnya jika dirujuk kepada penulisan sejarah, membuktikan bahawa tarikh penghijrahan Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah dari Mekah tidak berlaku pada bulan Muharram. Walaupun berlaku khilaf berkenaan tarikh Hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam, namun tiada langsung pendapat yang mengatakan ianya berlaku pada 1 Muharram.
Syeikh Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya Fiqh al-Sirah, beliau memilih pendapat yang terkuat tentang hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam berlaku pada 2 Rabiul Awwal iaitu 13 tahun selepas kerasulan baginda.
Tiba pada zaman Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau melihat keperluan untuk Islam memiliki kalendar tersendiri.  Lalu dengan kelebihan dan kehebatan peristiwa Hijrah Nabisallahu alaihi wasallam ke Madinah, maka pada tahun tersebut ianya dipilih sebagai tahun pertama Kalendar Islam.
Yang menariknya di sini Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu tidak memilih tahun kelahiran Nabi sallahu alaihi wasallam sebagai permulaan kalendar Islam. Sebagaimana kalendar Masihi yang bermula dari Tahun kelahiran Nabi Isa alaihissalam. Benar sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang memberi gelaran kepada Umar al-Khattab dengan panggilan al-Farouq. Iaitu pembeza di antara kebenaran dan kebatilan. Beliau cukup cekap menafsir kehendak agama yang dibawa Nabi sallahu alaihi wasallam yang amat suka mencari sesuatu sebab membezakan Islam dengan agama lain.
Mungkin atas faktor inilah ada sebahagian ulama yang mempertikaikan majlis bacaan doa awal dan akhir tahun. Sebab pada zaman Nabi sallahu alaihi wasallam masih belum mempunyai kalendar Islam. Namun bagi saya yang lemah dan dhaif. Berdoalah pada setiap masa. Tidak mengira awal, akhir, tengah ataupun tepi setiap tahun. Asalkan tidak mensabitkan waktu-waktu tertentu yang tiada asalnya daripada Nabi sallahu alaihi wasallam.(Wallahua’lam, rujuklah ustaz di kawasan anda)
Kalendar Islam ini dipilih berteraskan tahun penghijrahan Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah. Mengapa peristiwa Hijrah yang dipilih? Besar sangatkah peristiwa ini?

Beberapa Peristiwa Penting Dalam Hijrah Nabi Muhammad s.a.w .
Kisah-kisah berkenaan Hijrah Nabi Muhammad saw sedia maklum kita mengetahuinya. Apa yang ingin saya kongsikan adalah hikmah yang kita boleh ambil daripadanya. Namun begitu, saya ingin sebutkan secara ringkas rentetan Hijrah Nabi saw;

* Kafir Quraisy berazam untuk membunuh Nabi Muhammad saw
* Malaikat Jibrail memberitahu kepada Nabi Muhammad saw berkenaan dengan rancangan jahat    kaum Quraisy dan keizinan dari Allah swt kepada Nabi untuk berhijrah ke Madinah
* Nabi memberitahu kepada Abu Bakr tentang rancangan Hijrah ini
* Mereka keluar dari Mekkah, pergi ke gua Thur
* Quraisy mencari Nabi sehingga sampai ke gua
* Abu Bakr gelisah dan takut dengan keselamatan Nabi ketika di gua
* Turunnya ayat Al-Quran, Surah At-Taubah : 40
* Mereka keluar dari gua selepas bersembunyi di situ selama 3 hari
* Suraqah mengejar Nabi dan janji Nabi kepada Suraqah
* Nabi tiba di Madinah
* Pembinaan Masjid Nabawi
* Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar



Istifadah atau Iktibar Dari Peristiwa Hijrah Nabi saw

1. Mengambil asbab bagi setiap perbuatan

Para duat perlu mengambil setiap asbab yang dapat menggagalkan rancangan jahat musuh, jangan lalai sehingga terlaksananya rancangan mereka. Carilah asbab-asbab yang dapat menggagalkan rancangan jahat mereka.
Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah saw menyuruh Ali r.a untuk tidur di atas katilnya, bagaimana baginda keluar dari rumahnya, bagaimana mereka bersembunyi di gua Thur dan menetap di situ selama beberapa hari supaya terlepas dari tipu daya kaum musyrikin.

Justeru, setiap duat perlu mengambil setiap jalan-jalan yang dibenarkan syarak supaya dapat menjauhi dari bahaya musuh seperti keluar dan menjauhi tempat tinggal mereka dan pergi ke rumah kawan-kawan yang dipercayai, bersembunyi di situ, tidak keluar darinya. Ataupun, tidak bercampur dengan mereka atau apa-apa sahaja jalan-jalan yang dibenarkan oleh syarak yang dapat menjauhkan para duat dari bahaya.


2. Beriman dengan mukjizat
Ketika Nabi Muhammad saw sedang berhijrah, telah berlaku beberapa mukjizat yang menjadi bukti kebersamaan Allah swt dalam menjaga rasul-Nya. Diantara apa yang diriwayatkan adalah ; sarang labah-labah dan burung merpati, dan tumbuhnya pokok di depan pintu gua. Begitu juga peristiwa antara baginda dan Ummu Ma’bad, Suraqah yang berjaya menjejaki nabi. Dia telah dijanjikan dengan kalung raja kisra.

Berkenaan dengan kisah burung merpati dan labah-labah, timbul satu persoalan. Adakah kedua-duanya benar-benar ada?

Dr. Yusuf Al-Qardawi mengatakan :
“Adapun merpati itu, tidak ada riwayat yang sohih atau hasan berkenaannya. Manakala labah-labah pula, terdapat riwayat mengenainya. Ada yang mengatakan ia hasan, ada pula yang mengatakan dhoif. Apa yang penting adalah, Allah swt mempunyai tentera-tentera. Boleh jadi labah-labah yang mana Allah swt menyifatkan sarangnya sebagai sarang yang rapuh.
Maksudnya: Misal bandingan orang-orang Yang menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah Yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang Yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan.

Tidak peliklah jika Allah swt menjaga rasul-Nya dengan sarang yang rapuh atau Allah swt menjaganya tanpa ada asbab-asbab yang kita boleh lihat. Apa yang penting, rasul-Nya terjaga dan terpelihara.” [Khitabul Asy-Syeikh Al-Qardawi, juzu’ ke-4, dikumpulkan oleh Dr. Khalid Khalifah As-Saad]

Oleh itu, para duat tidak boleh menyembunyikan kisah ini malah perlu menyebutkannya selagimana ia disebutkan di dalam sunnah nabawiyyah. Katakanlah bahawa peristiwa ini menjadi bukti yang jelas kenabian Nabi Muhammad saw.

3. Meminta pertolongan dari kafir yang dipercayai
Para duat dibenarkan meminta pertolongan dari orang yang tidak beriman, selagimana dia dipercayai. Kita boleh lihat bagaimana Nabi Muhammad saw dan Abu Bakr mengupah seorang musyrik untuk menunjukkan jalan dalam penghijrahan mereka. Sedangkan ia adalah waktu yang genting dan merbahaya.

Tidak syak lagi bahawa nabi saw dan Abu Bakr mempercayai dan merasa aman dengannya. Ini menunjukkan bahawa orang-orang kafir, pelaku maksiat atau sesiapa yang tidak berkaitan dengan jemaah islam, pasti ada dikalangan mereka yang boleh dipercayai. Seperti mempunyai hubungan kekeluargaan, kenalan lama atau jiran.

Atau mereka dipercayai kerana mempunyai asas akhlak yang baik seperti amanah, suka kepada perkara kebaikan atau apa-apa sebab yang lain. Manakala, masalah-masalah lain yang mungkin timbul, ia bergantung kepada kebijaksanaan duat itu sendiri dan sejauh mana dia mengenali orang yang menolongnya.


4. Ketinggian kedudukan Abu Bakr As-Siddiq
Bagi setiap duat yang memperkatakan tentang peristiwa hijrah nabi saw, adalah mustahak untuk turut menyebutkan ketinggian kedudukan Abu Bakr di sisi Nabi Muhammad saw dan di sisi Islam. Buktinya, Nabi saw pergi berjumpa Abu Bakr dan memintanya untuk meneman baginda saw selepas mendapat keizinan daripada Allah swt untuk keluar berhijrah.

Manakala Abu Bakr pula, dia sangat takut jika berlaku sesuatu yang buruk kepada baginda saw ketika di gua Thur, kerana dia sangat mengasihi baginda saw lebih dari dirinya sendiri. Oleh itu, para duat perlu mengingatkan manusia akan kebaikan dan budi pekerti Abu Bakr ini, serta menjadikannya dan para sahabat umumnya sebagai qudwah dalam mencintai Nabi saw.

5. Kepentingan Masjid
Para duat perlu menggalakkan manusia supaya membina masjid di setiap kampung dan tempat tinggal serta menjaganya. Ini dilakukan supaya dapat mengingatkan manusia kepada solat,  ibadah kepada Allah swt, perjumpaan untuk mengkaji kitab Allah dan sunnah Nabi saw dan sebagainya. Kita dapat lihat kepentingannya ketika mana Nabi saw tiba di Quba’, baginda telah membina masjid untuk kaum muslimin solat.

Justeru, para duat tidak boleh memandang ringan pembinaan masjid ini terutama di kampung-kampung sehingga kita meremehkan pembinaan dan pembaikannya, kerana pengimarahan masjid itu bergantung kepada solat yang ditunaikan di dalamnya disamping jumlah jemaah yang ramai. Tambahan pula, di antara medan dakwah para duat adalah di masjid disamping khutbah jumaat, supaya khutbah tersebut dapat mencapai tujuan yang syar’ie.

6. Bersama-sama melakukan perkara-perkara kebaikan
Apabila seseorang daie itu menyuruh manusia untuk melakukan sesuatu amalan kebaikan seperti membina masjid atau sekolah, membaik pulih jalanraya, mengambus lecak atau lopak, mananam pokok dan lain-lain perkara kebaikan, maka para duat mestilah sama-sama turun padang membantu mereka supaya dia dapat menjadi qudwah hasanah.

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah saw bekerja bersama-sama para sahabat dalam membina Masjid Nabawi di Madinah.begitu juga jika dia menggalakkan manusia untuk bersedekah, dia juga perlu melakukannya terlebih dahulu mengikut kadar kemampuannnya walaupun sedikit.
____________________________
sumber:http://www.haluantarbawi.com/v2/index.php.  ( Hikmah Peristiwa Hijrah )
* Persoalan Penentuan Kalendar Hijrah : tahun baru Islam ?
Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1432H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1433H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.
Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah.
 Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).
Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.
Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.
Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.
Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.
Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.
Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.
________________________________________
*  Sumber utama artikel ini ( Penentuan Kalendar Islam Hijrah ) ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).
 Persoalan Doa akhir & awal Tahun ?

Menurut satu riwayat menyatakan bahawa Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:
Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. - Hadis Mutawtir

Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud:
Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).

Ibnu Abbas juga pernah berkata:
Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.

Kesimpulan

Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim

Doa yang patut diamalkan
Anas bin Malik radhiyallahu anhu berkata bahwa Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam biasa membaca doa :
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya : "(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, rasa malas, rasa takut, kejelekan di waktu tua, dan sifat kikir. Dan aku juga berlindung kepada-Mu dari siksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian)." (hadis riwayat Imam  Bukhari  dan Muslim )

___________________________

Suntingan dari pelbagai sumber  oleh Dar as Solehin  ( 20 November 2011 )
Doa Akhir Tahun

Artinya:
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW,beserta para keluarga dan sahabatnya. Ya Allah, segala yang telah ku kerjakan selama tahun ini dari apa yang menjadi larangan-Mu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakannya dan Engkau bersabar (dengan kasih sayang-Mu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk saya, dan Engkau telah mengajak saya untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat. Karena itu ya Allah, saya mohon ampunan-Mu dan berilah ampunan kepada saya dengan kemurahan-Mu.
Segala apa yang telah saya kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau ridhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, saya mohon kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah, wahai Dzat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepada-Mu, wahai Dzat Yang Maha Pemurah.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Nabi yang Ummi dan ke atas keluarga dan sahabatnya.








Doa Awal Tahun
.
Artinya:
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerah-Mu yang Agung dan Kedermawanan-Mu tempat bergantung.
Dan ini tahun baru benar-benar telah datang. Kami memohon kepada-Mu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) setan, kekasih-kekasihnya dan bala tentaranya. Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak pada kejahatan,agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepada-Mu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, Nabi yang ummi dan ke atas para keluarga dan sahabatnya

1 comment:

  1. KISAH PENGHINAAN TERHADAP MASJID AL SOLEHIN DAN AHLI KHARIAHNYA DIKULAIJAYA
    www.karamsingwali.blogspot.com
    tolong share..bantu kami selamatkan al solehin..

    ReplyDelete